In the News

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan kekal sebagai gergasi sektor tenaga negara walaupun dijangka berdepan saingan sengit di bawah dasar Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 (2019-2025).

Ia susulan persediaannya memperkasakan bidang pertumbuhan baharu menjelang evolusi sektor tenaga MESI 2.0 termasuk kejayaan melaksanakan transformasi operasi dalaman menerusi penubuhan TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo) dan TNB Retail Sdn Bhd (RetailCo).

Bahkan, TNB yang meraikan ulang tahun ke-70 pada tahun ini, juga berhasil mewujudkan sumber pendapatan berpotensi tinggi baharu hasil daripada pengembangan perniagaan luar negara, pulangan pelaburan dalam penerokaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan menjana nilai komersial daripada Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Kedudukan TNB kini jauh di hadapan dalam pesaing sektor tenaga lain turut memberi laluan selesa untuk meneroka potensi baharu elektrifikasi negara serta menjuarai inisiatif infrastruktur stesen pengecas kereta elektrik (EV) pada skala besar menerusi kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata TNB dijangka terus mencatat lonjakan pertumbuhan apabila semua bidang pertumbuhan baharu itu berhasil dan menjana manfaat kepada kumpulan sepenuhnya.

Berbanding tahun lalu apabila TNB perlu menyelesaikan isu susut nilai aset antarabangsa, katanya, beliau yakin organisasi itu kini sudah berada di platform yang lebih stabil untuk menjana hasil pendapatan ketara kepada kumpulan pada tahun ini.

“Landskap baharu industri tenaga memaksa TNB berubah kepada bidang baharu yang menerapkan disiplin komersial. Seperti GenCo apabila meneroka pasaran komersial kelak memerlukan elemen pembidaan dan pengurusan kecekapan operasi bagi meningkatkan persaingan.

“Peringkat seterusnya, TNB akan teruskan penguasaan dalam transmisi dan pengedaran, meningkatkan kecekapan pengurusan untuk pendapatan lebih baik, dan produk inovasi di peringkat peruncitan RetailCo serta meninjau pertumbuhan dalam segmen pasaran baharu,” katanya dalam satu temubual eksklusif di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi perniagaan antarabangsa, TNB melaburkan sekitar RM3 bilion bagi portfolio perniagaan itu selepas terbukti membuka ruang pendapatan baharu bagi pasaran yang belum pernah diterokainya sebelum ini.

Katanya, dalam tempoh lima tahun lagi TNB yakin portfolio perniagaan itu mampu berkembang sekurang-kurangnya dua kali ganda jika terus meraih momentum peluang perniagaan seperti diperolehnya kini.

“Kini, bagi perniagaan luar negara, kami menguasai kedudukan yang besar dalam RE iaitu bagi segmen janakuasa solar di United Kingdom (UK) dan turbin angin. Banyak lagi peluang RE di Eropah dan kami yakin lebih banyak peluang bakal muncul di Asia kelak.

“Kebanyakan pelaburan antarabangsa kami sudah menjana pulangan pelaburan (ROI) yang sangat menggalakkan melangkaui jangkaan. Maka jelas RE sangat baik kerana ia segmen yang pantas berkembang berbanding mana-mana segmen tenaga lain di dunia.

“Dari situ kami bina keupayaan dan bawa ke Malaysia. Di sini bahagian peruncitan kami ada GSPARX Sdn Bhd yang terus memberikan penyelesaian inovatif dan kini sudah meraih kontrak pemasangan panel solar mencecah kapasiti 16MW,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Comments are closed.

Close Search Window